Populariti Eina Azman terjejas kerana kontroversi Afiq Muiz

Populariti Eina Azman terjejas kerana kontroversi Afiq Muiz

21 Okt – Aktres jelita Eina Azman mengakui popularitinya semakin merudum selepas tercetusnya kontroversi antaranya dengan aktor Afiq Muiz.

"Orang kata pengalaman itu satu pengajaran. Itu yang saya rasa sekarang ini. apa yang dah berlaku sebelum ini saya jadikan sebagai pembelajaran hidup untuk menjadi seorang yang lebih berfikiran matang.

"Dan rasanya saya sudah membaiki sikap keanak-anakan itu. Alhamdulillah, orang mula menerima saya sedikit demi sedikit," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakini Azman berkata, peminatnya kini semakin bertambah sejak membintangi drama bersiri "Selamat Pengantin Madu".

"Mula-mula ketika menerima watak antagonis, risau juga kerana sudahlah orang tak berapa nak suka saya, berlakon watak jahat juga pasti akan ada kesannya.

"Memang benar, orang menyampah melihat saya dalam drama itu tetapi mereka sukakan lakonan saya. Peminat saya makin bertambah hanya kerana drama ini sahaja."

Sementara itu, Eina turut memberitahu bahawa dia kini sentiasa menjaga tingkah laku dan disiplin di lokasi penggambaran.

"Saya percaya, menjaga disiplin kerja akan membuatkan mana-mana pihak pun senang dengan kita. Saya harap akan mengekalkan prestasi kerja sebaik mungkin."